Bagi bakal-bakal ibu atau ibu yang ingin menyusukan sendiri bayi, pasti persoalan ini akan timbul di fikiran. Ya, saya juga pernah mengalaminya. Berdasarkan pengalaman saya sendiri, saya telah membeli breastpump di akhir tri-mester ke 3 saya iaitu sebelum anak sulung saya dilahirkan.
Alhamdulillah, saya telah bertemu jodoh dengan group Facebook Kumpulan Ibu2 Menyusukan. Pada saat itu tahun 2010. Kumpulan ini sangat aktif ketika itu jadi, banyak persoalan yang diutarakan mendapat jawapan dengan cepat dan mendapat sokongan dari ahli kumpulan. Walau bagaimanapun, group ini sudah tidak membenarkan post baru mungkin kerana persoalan yang sama selalu berulang. Tetapi, ibu-ibu tidak perlu bimbang kerana anda masih lagi boleh membuat rujukan di group berkenaan yang mempunyai banyak informasi yang sangat berguna dan membantu dalam penyusuan. Anda cuma perlu rajin membaca, menggunakan butang 'Search' dan mengorek menu 'Files'.
Berbalik kepada isu asal, bila perlu kita membeli breastpump? Saya nasihatkan, BELILAH SEBELUM ANDA MELAHIRKAN ANAK. Buatlah pilihan dan kaji terlebih dahulu ciri-ciri dan harga breastpump mengikut keperluan dan kemampuan anda.
Antara sebab-sebab perlunya membeli breastpump dan mengkaji mengenainya sebelum kelahiran:
- Anda boleh mencuba dan berlatih terlebih dahulu supaya tidak kelam-kabut apabila tiba saat menggunakannya nanti. Tapi AWAS. Dinasihatkan supaya TIDAK MENGEPAM SUSU SEBELUM SAAT KELAHIRAN kerana ia boleh menyebabkan pengecutan rahim dan menyebabkan keguguran bagi sesetengah ibu. Cuma cuba berlatih tapi bukan betul-betul mengepam.
- Dapat mencuci alatan breastpump terlebih dahulu supaya ia sedia bersih saat diperlukan.
- Dapat berlatih membuka dan memasang breastpump terlebih dahulu,
- Memberi semangat untuk menyusukan anak.
- Anda akan mempunyai lebih pemahaman dan mengenali breastpump anda sebelum ia betul-betul digunakan.
- Dapat mengelakkan membeli pam yang tidak sesuai dengan kemampuan dan keperluan anda. Oleh sebab itu, kajilah pilihan breastpump anda sebelum membeli.
- Jika wujud keadaan bayi dan ibu terpisah selepas proses kelahiran kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Sebagai contoh, kelahiran secara pembedahan atau sebab-sebab lain, si ibu boleh mengepam susu untuk merangsang pengeluaran susu dan juga dapat membekalkan susu ibu kepada bayi walaupan berjauhan.
- Dapat merangsang pengeluaran susu jika bayi menolak pemberian susu secara terus dan diberikan kepada bayi melalui cawan atau botol. Walau bagaimanapun, pemberian susu ibu melalui botol adalah tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan bayi keliru puting atau nipple confuse.
- Terdapat kes bayi sumbing atau cleft yang menyebabkan bayi tidak dapat minum susu secara terus dari ibu maka, susu ibu masih boleh diberikan dengan memerah susu ibu dana diberikan kepada bayi.
Terdapat pelbagai sebab-sebab lain yang mungkin berlaku jadi, apa kata kita sediakan payung sebelum hujan dan mudah-mudahan kita dapat menyusukan anak.
** Penulisan ini adalah dari pengalaman peribadi dan ilmu penulis.
** Segala pandangan dan cadangan atau sebarang tambahan, amat dialu-alukan.
